Wednesday, August 3, 2011

Ramadhan Tahun Ini

Memandangkan Haziq Fahmi tahun ini akan mencecah usia 6 tahun, jadi saya berhasrat melatih dia untuk betul-betul berpuasa. Sebelum ini dia puasa sekerat sahaja. Nasib baiklah hari pertama berpuasa dia bercuti (Kedah bercuti pada 1 Ramadhan) dan kebetulan Huzein tidak ke Perlis. Jadi, saya minta Huzein tengok-tengokkan Haziq.

Jam 12.00tengahari saya telefon ke rumah bertanyakan tentang Haziq. Alhamdullillah waktu tu dia masih lagi bertahan dan cergas. Bila pulang ke rumah selepas kerja, dia masih lagi bertahan walaupun asyik bertanya lambat lagikah waktu berbuka dan berapa minit lagi dia perlu tunggu.

Pengakhiran hari tu, dia berjaya berpuasa penuh satu hari. Terharu pula saya (saya pula yang melebih-lebihkan?). Menu berbuka puasa untuk Haziq pada hari itu adalah Nasi Ayam Periuk Besar dan air asam boi yang disangkanya air oren.


Alhamdulillah tahun ini juga kami berbuka puasa dengan keadaan yang sedikit tenang. Maklumlah anak-anak sudah semakin besar. Sebelum-sebelum ini, dengan anak yang masih kecil , kadang-kadang ibu dengan abah lagi sibuk layan anak daripada berbuka.


Tahun ini saya sangat-sangat berharap yang saya tidak akan membazir. Sayang betul bila tengok makanan terpaksa dibuang bila dah terlebih-lebih.

Dan tahun ini menjadi sejarah bila saya gigih bangun waktu sahur. Dulu hanya Huzein bangun seorang. Sekarang, saya bangun panaskan atau sediakan makanan. Sebabnya saya mahu Haziq berpuasa dan saya nak dia bersahur. Kalau tak bersahur takut dia berlapar nanti.

Tahun ini juga Haziq begitu bersemangat nak ke surau. Jadi Huzein bawa dia ke surau untuk terawih. Gambar ini diambil semalam. Hadif pun ikut bersama ke surau semalam.



Semoga anak-anak ibu menjadi anak yang soleh. Amin.

No comments: